Tong NGV 77 liter yang dipasang di kereta waja dengan sekali isian RM14. Untuk mendapatkan ruang yang lebih luas elok juga dipasang tong 65 liter.
Hampir seminggu memikirkan berkenaan kos minyak yang
agak tinggi membuatkan saya akhirnya memilih untuk memasang NGV pada kereta.
Pada mulanya saya memilih untuk berulang alik dengan kereta VIVA selepas tidak
tahan dengan jumlah penggunaan minyak kereta waja yang terlalu tinggi untuk
berulang alik ke pejabat lebih kurang 104 kilometer setiap hari pergi dan balik.
Suis sistem NGV yang menggunakan mixer sistem
Selepas kenaikkan harga minyak 20 sen, ditambah dengan
aktiviti luar yang pelbagai menyebabkan saya cuba untuk mencari jalan keluar
kepada masalah ini. Memandu kereta Viva juga terasa kesannya dan agak
meletihkan badan berbanding memandu kereta waja yang lebih selesa.
Botol yang berwarna biru merupakan cecair yang digunakan untuk menyejukkan enjin. Harga di mudah RM 150. Tetapi harga sekali dengan pemasangan dicaj RM 250.
Survey Awal
Memang ada pro dan kontranya memasang NGV ini. Apabila
membaca hujah dan komen-komen dilaman forum, saya akhirnya mengambil keputusan
untuk memasangnya juga pada kereta waja saya. Tambahan pula selepas mendapat
nasihat daripada seorang teman yang memasang NGV pada kereta personanya dan
tidak mengalami sebarang masalah. Kebetulan pula stesen petronas yang mempunyai
isian NGV berada berdekatan dengan pejabat saya iaitu di Jalan Tanjung
Bendahara Alor Setar.
Pada hemat saya, sekiranya ada dikalangan kita yang
ingin memasang NGV, cubalah sedikit sebanyak “google” terlebih dahulu tentang
penggunaan NGV ini. Ini kerana, untuk membuat keputusan bagi memasang NGV ini
perlulah dikaji dengan teliti berkenaan kebaikkan dan keburukkan yang akan kita
hadapi selepas memasangnya. Melalui cara ini juga kita dapat mengetahui sedikit
sebanyak berkenaan dengan pengendalian kereta kita selepas memakai NGV.
Memilih Kedai dan Sistem NGV
Untuk memasang NGV ini saya membuat survey dibeberapa
buah kedai yang ada di Alor Setar. Akhirnya saya memilih untuk memasangnya di
sebuah kedai Best NGV Services, rangkaian kepada pengedar NGV iaitu Sugoi NGV
yang berada di Tandop, Alor Setar.
Harga pemasangan di Kedah lebih mahal jika
dibandingkan dengan pemasangan di Kuala Lumpur. Ada sahabat yang yang
mencadangkan supaya saya pergi memasang NGV di Kuala Lumpur, tetapi memikirkan servis
selepas pemasangan menyebabkan saya memilih untuk memasangnya di Kedah walaupun
terpaksa berbelanja lebih.
Bagi kereta waja menggunakan system mixer dengan tong
77 liter, kos pemasangan di kedai ini adalah RM 3100. Di tambah dengan
pemasangan alat penyejuk enjin RM250 menjadikan jumlah keseluruhan RM3350. Oleh
kerana saya membayar menggunakan kad kredit, maka caj tambahan dikenakan
sebanyak RM63.00. Bayaran secara kad kredit adalah sebanyak RM 3,063 dan baki
sebanyak RM350 perlu dibayar secara tunai.
Bagi kereta persona kos pemasangan menggunakan tong 65
liter sekitar RM2900 untuk system mixer dan
bagi kereta kancil sekitar RM 2700 bagi system mixer. Bagi system
sequential saya tidak sempat survey kerana harganya yang agak mahal.
Di Mana Jimatnya
Jika dibandingkan dengan petrol, NGV sememangnya
menjimatkan. Tetapi ianya adalah dari
sudut jangka masa panjang. Sebagai contoh dalam tempoh tiga tahun, jumlah
perjalanan saya menggunakan kereta waja adalah sekitar 130,000 kilometer.
Dengan anggaran satu kilometer 20 sen, maka jumlah keseluruhan adalah sebanyak
RM 26,000 ribu. Sekiranya saya menggunakan NGV 0.06 sen bagi setiap kilometer,
maka jumlah yang dibayar untuk membeli gas hanyalah sekitar RM 7,800. Jika
dihitung, saya boleh menjimatkan sebanyak RM 18,200 dalam tempoh penggunaan tersebut.
Namun begitu ianya terpulang kepada poket kita. Ini
kerana untuk memasang NGV memerlukan kos permulaan yang agak mahal. Keduanya
ada juga yang takut untuk bermain dengan risiko kerana banyak yang menyatakan
kereta yang menggunakan NGV ini cepat rosak.
Kaedah Pemanduan Kenderaan NGV
Kaedah pemanduan kenderaan menggunakan NGV memberikan
ketahanan kepada enjin kereta yang menggunakan NGV. Misalnya bagi pengguna NGV,
nasihat daripada pengguna NGV lain yang berpengalaman adalah dinasihatkan
memandu dalam lingkungan 100km - 110km sejam sahaja untuk sesuatu perjalanan. Sekiranya
ingin memandu dengan kelajuan melebihi 110 km ke atas sejam, disarankan supaya
menggunakan petrol bagi mengelakkan enjin kenderaan menjadi panas terlampau.
Tidak dinafikan ada kenderaan yang mampu untuk bertahan, tetapi ada juga enjin
yang manja dan akan rosak kerana tidak tahan panas.
Andai kita seorang pemandu yang cenderung kepada
pemanduan ala-ala formula one, elakkanlah daripada memakai NGV. Ini kerana dengan
NGV akan mengurangkan pick up kenderaan anda dan menggagalkan anda beraksi
seperti pemandu kereta lumba dijalan raya. Kerana kurang pick up inilah akan
menyebabkan anda stress dan menyumpah seranah NGV. Adalah lebih baik berbelanja
lebih dengan petrol bagi membolehkan hati anda lebih puas untuk beraksi dengan
hebat di jalan raya.
Menyelenggara Kenderaan Tepat Pada Masa
Apabila menggunakan NGV, antara lain adalah penukaran
plug kereta mestilah dilakukan bagi setiap 20,000 km atas saranan daripada
mekanik NGV yang berpengalaman. Apabila mencapai jarak ini juga disarankan
supaya ditukar air filter yang harganya sekitar RM15. Tukarlah minyak hitam
setiap kali 5,000 km atau 10,000 km dengan penuh berdisiplin.
Selain daripada itu, air di radiator juga perlu diisi
dengan air reverse osmosi yang ditapis dan menggunakan coolen yang baik. Ini
adalah langkah bagi mengawal kepanasan enjin. Air di dalam tangki penyimpan air
dan radiator mestilah kerap diselenggara bagi mengelakkan ianya kering
disebabkan kebocoran pada paip dan sebagainya.
Harus diingat juga, sekiranya kenderaan sudah lama
periksalah paip yang menyalurkan air. Sekiranya sudah keras, tukarlah dengan
yang baharu. Bukan sahaja disebabkan menggunakan NGV, tetapi sekiranya memakai
petrol sekalipun sekiranya ianya bocor akan menyebabkan radiator dan berasap.
Alamatnya terbanglah beratus ringgit untuk tujuan overhaul. Hati-hati.
Menurut seorang rakan di dalam group facebook NGV Owner, dicadangkan supaya tepet kenderaan diperiksa setiap enam bulan. Mungkin kita boleh minta mekanik tolong cek semasa kita menukar minyak hitam di kedai penyelenggaraan.
Menurut seorang rakan di dalam group facebook NGV Owner, dicadangkan supaya tepet kenderaan diperiksa setiap enam bulan. Mungkin kita boleh minta mekanik tolong cek semasa kita menukar minyak hitam di kedai penyelenggaraan.
Seeloknya, ambil tahulah serba sedikit tentang
penjagaan asas kenderaan walaupun anda seorang ulat buku atau seorang wanita.
Muatan Yang Berat
Bagi kereta yang memasang tong NGV, sudah semestinya bebanan yang ditanggung agak berat. Tambahan pula kereta lama yang sudah lembut asorbernya. Bagi kereta baru tiada masalah. Hal ini juga berlaku kepada kereta waja saya. Selepas memasang NGV, disebabkan asorber sudah lembut dan kemungkinan rosak menyebabkan kereta bergerak seperti perahu apabila membawa penumpang.
Keadaan ini menyebabkan saya menukar asorber baru dan memasang pelapik setebal 2 inci kepada spring kereta waja untuk menstabilkan bahagian belakang kereta. Sekiranya kita mempunyai duit lebih, pasanglah asorber adjustable yang harganya agak mahal sekitar 1k sehingga 2k. Tetapi atas kemampuan saya hanya memakai asorber kayaba standard yang berharga RM350 untuk set depan dan belakang yang dipasang oleh sepupu sendiri. Bajetable...Hehe...
Keputusan Di Tangan Kita
Sekiranya ingin menggunakan NGV, berfikirlah dahulu
sebelum membuat keputusan. Sekiranya ditanya pendapat saya, saya menyokong
untuk memasang NGV sekiranya jarak perjalanan seharian yang jauh serta mampu
menyediakan modal awal bagi tujuan pemasangan.
Tetapi sekiranya hati kita teragak-agak dan risau akan
menyesal disuatu hari nanti, dicadangkan tangguh sahaja hasrat kita. Ini
kerana, ada segelintir yang menyalahkan penggunaan NGV sebagai punca utama
kerosakkan pada kenderaannya dan menyatakan kekesalan seumur hidup kerana
memakai NGV.
Tiada paksaan buat kita. Hanya kita berhak memilih
untuk diri kita.