Percutian yang
dirancang sememangnya sesuatu yang menyeronokkan dan menjimatkan. Baru-baru ini
saya sempat bersama ahli keluarga dan seorang teman bercuti ke Krabi dan
seterusnya ke Phuket sempena cuti Hari Raya Aidil Fitri. Rancangan untuk ke
sana dibuat secara spontan yang akhirnya turut disertai oleh kawan kepada biras
saya. Berdasarkan pengalaman bermusafir ke sana selama 3 hari 2 malam.
Selepas pulang dari
percutian ini, teringin untuk saya kongsikan berkenaan persiapan-persiapan
asas yang perlu oleh orang baru yang ingin bercuti ke sana. Mungkin tulisan
ini tidak bermanfaat bagi orang yang sudah biasa ke sana, tetapi bagi yang
ingin menjejakkan kaki kali pertama ke sana dengan kenderaan sendiri, saya
yakin tulisan ini sedikit sebanyak membantu anda.
Gambar yang diambil diwaktu pagi dipantai Ao Nang pada hari ketiga sebelum balik
Tempahan Hotel
Melalui Agoda
Bilik Smile Hotel (Ihsan web Smile Hotel)
Langkah pertama
untuk memulakan trip ini adalah dengan melayari blog-blog yang menceritakan
pengalaman mereka ke Krabi. Sedikit sebanyat catatan tersebut membantu kami terutama
dari sudut jalan yang perlu dilalui. Tambahan pula tiada seorang pun dari
kalangan kami yang berpengalaman dan tahu selok belok jalan untuk ke sana.
Paling jauh hanya setakat hatyai sahaja.
Selepas mendapat
maklumat berkenaan Krabi, kami mula mencari hotel yang bersesuaian dengan kadar
harga yang berpatutan melalui laman Agoda. Selepas membuat perbandingan, kami
memilih untuk menempah Smile Hotel yang berada di kawasan Ao Nang Beach. Harga
yang ditawarkan adalam RM55.00 semalam. Kos keseluruhan bagi 4 buah bilik untuk
2 malam adalah sekitar RM 499.00 termasuk cukai perkhidmatan. Apabila kami tiba
ternyata kondisi hotel tersebut cukup baik dan sesuai untuk seisi keluarga.
Katilnya agak besar dan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan hotel bajet di
Malaysia.
Penyediaan Dokumen
Perjalanan
Pada mulanya kami
merancang untuk menggunakan pas lawatan sempadan sahaja (border pass) kerana
kosnya yang rendah iaitu RM10.00 bagi sekeping border pass. Namun begitu,
selepas disemak dengan rakan-rakan, border pass hanya boleh digunakan lima
wilayah di selatan Thai iaitu Songkhla, Satun, Yala, Narathiwat dan Pattani.
Wilayah Krabi tidak termasuk di dalam syarat yang diluluskan oleh pihak
berkuasa Thailand ini.
Walaupun sebenarnya
boleh juga sekiranya kami mahu menggunakan border pass, tetapi memikirkan
risiko yang akan ditanggung sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand,
kami memutuskan untuk membuat passport antarabangsa bagi ahli trip yang tidak
mempunyai passport antarabangsa.
Penyediaan Insurans
Kenderaan
Untuk memasuki pintu
sempadan Thailand, kita perlu membeli insurans kenderaan Thailand. Untuk
membuat insurans, kita perlu membawa sesalinan geran kenderaan yang ingin
dibawa.
Insuran kereta ke Thailand
Sekiranya di pekan
Changlun, insurans ini boleh dibeli dikedai-kedai disebelah kiri jalan menghala ke Bukit Kayu Hitam. Harganya
sekitar RM16.00 dengan jumlah perlindungan sebanyak 5 juta Bhat iaitu RM50 ribu
duit Malaysia. Insurans juga boleh dibeli di kedai berdekatan pintu masuk Bukit Kayu Hitam dengan harga RM18.00 iaitu lebih mahal RM2.00 berbanding harga di pekan Changlun. Selain itu, ianya juga boleh dibeli di RnR Gurun atau kedai-kedai lain yang menawarkan insurans untuk ke sana.
Di kawasan Changlun ada beberapa buah kedai yang menyediakan khidmat penukaran wang ke mata wang Thailand. Selepas dibuat
survey dibeberapa buah kedai, penukaran wang direstoran di simpang traffic light bertentangan dengan kompleks C-Mart Changlun antara yang
tertinggi berbanding kedai-kedai lain. Sehingga 12 Ogos 2013, sekiranya kita
menukar sebanyak RM 100.00, kita akan mendapat duit tukar sebanyak 960 baht
dimana kita akan defisit sebanyak RM4.00.
Penukaran wang Ringgit Malaysia ke Baht Thailand
Peralatan Tambahan
Sekiranya kita ke
sana, bagi yang belum pernah ke sana diingat supaya dibawa bersama soket
elektrik untuk kegunaan mengecas hp atau untuk menggunakan alatan elektrik lain
yang dibawa di Malaysia. Ini kerana plug di sana berbeza dengan soket di
Malaysia dan memerlukan converter untuk menyesuaikan plug kita dengan soket
Thailand. Harga converter ini di pasaraya-pasaraya di Malaysia lebih murah
berbanding dibeli di Thailand.
Soket elektrik di Negara Thai
Converter Plug
Selain daripada itu,
sekiranya kita memakai hp jenis android, dicadangkan supaya dibawa bersama
charger hp didalam kereta bagi mengelak kehabisan bateri.
Mengisi Minyak
Kenderaan
Perjalanan yang
dilalui oleh kami sepanjang ke Danok- Krabi – Phuket – Krabi – Wang Kelian
jaraknya lebih kurang 1050 km. Kami ke sana berkonvoi 3 buah kereta iaitu
sebuah Proton Waja 1.6 c.c, Toyota Hilux 2.0 c.c (diesel) dan Toyota Harrier
2.5 c.c.
Jumlah penggunaan
minyak bagi proton waja keseleruhan adalah sebanyak RM200 dimana diisi penuh
RM120 di Caltex, Changlun dan dibawa simpanan tong sebanyak RM50 dan diisi pula
di Thailand sebanyak 500 baht sewaktu pulang dan sewaktu tiba di Wang Kelian
kami mengisi pula sebanyak RM30.
Bagi Toyota Hilux
penggunaannya minyak sangat menjimatkan. Sepanjang perjalanan biras saya mengisi
minyak penuh di BHP Bukit Tangga sebanyak RM 130 dan ianya mencukupi perjalanan
pergi balik sejauh 1050 km. Purata penggunaan minyak adalah sekitar 13 sen bagi
setiap kilometer.
Manakala bagi Toyota
Harrier penggunaan minyak adalah paling tinggi. Secara keseluruhannya rakan
saya mengisi minyak keretanya pergi balik sebanyak RM 400.00 termasuk isian
penuh di Malaysia dan Thailand.
Untuk perjalanan
jauh begini, dicadangkan minyak diisi penuh di stesen minyak berhampiran pintu
masuk. Antaranya stesen minyak Caltex, Taman Teja Changlun (Merupakan stesen
minyak terakhir yang berada disebelah kiri jalan menghala ke Bukit Kayu Hitam)
dan stesen minyak BHP, Bukit Tangga (stesen minyak yang paling hampir dengan
pintu sempadan tetapi berada di sebelah kanan iaitu jalan menghala ke Changlun). Ini kerana minyak di Thailand jauh lebih mahal daripada di Malaysia.
Jenis minyak yang
dicadangkan adalah Caltex kerana ianya lebih menjimatkan dan mempunyai pick up
dan tidak disyorkan untuk mengisi minyak petronas kerana ianya cepat habis dan
kurang pick up terutamanya untuk perjalanan jauh.
Tetapi bergantunglah
kepada pengguna kerana ada dikalangan pengguna yang memboikot stesen minyak
selain petronas. Pemilihan ini dibuat berdasarkan pengalaman menggunakan
jenis-jenis minyak ini untuk perjalanan jauh kerana minyak Caltex lebih
kilometer dan kuat pick up.
Memilih Pintu Masuk Perjalanan
Ke Krabi
Laluan berwarna
merah adalah jalan melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam. Manakala jalan
berwarna laluan berwarna biru melalui Wang Kelian.
Terdapat 2 jalan
utama untuk ke Krabi. Pertamanya melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau
Padang Besar yang akan melalui jalan Hatyai-Pathalung-Trang dan Krabi. Keduanya
melalui pintu masuk Wang Kelian- Cha Lung-Thung Wa-Trang-Krabi.
Bagi perjalanan kali
pertama dicadangkan kita melalui kedua-dua jalan tersebut bagi membolehkan kita
mengetahui selok belok jalan di Thailand. Sekiranya diberi peluang untuk pergi
ke sana buat kali kedua, bagi saya sudah tentu akan memilih jalan melalui pintu
masuk Wang Kelian kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding jalan melalui
pintu masuk Bukit Kayu Hitam.
Untuk keluar melalui
pintu Wang Kelian, kita mestilah sampai ke pintu sempadan sebelum jam 6.30
petang walaupun had yang diberikan sehingga jam 7 petang Malaysia ataupun
bersamaan dengan jam 5.30 petang Thailand. Sekiranya terlewat kita perlu
berpatah balik untuk keluar melalui Bukit Kayu Hitam ataupun Padang Besar
ataupun terpaksa menambah hari untuk bermalam di Satun.
Kebiasaannya
perjalanan melalui Wang Kelian hanya memakan masa sekitar 4-5 jam manakala
melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam sekitar 6-7 jam bergantung kepada kelajuan
pemanduan. Kita boleh menjimatkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sekiranya masuk
melalui pintu Wang Kelian. Perjalanannya pun agak mengujakan kerana melalui
kawasan perkampungan Thailand. Dengan khidmat GPS akan lebih memudahkan kita
untuk melalui jalan tersebut.
Dokumen Di Pintu
Masuk
Visa Ketibaan yang perlu diisi dan boleh didapatkan secara percuma di Pejabat Imigresen Thai
Sebaik melepasi
pintu masuk Malaysia, kita akan bertemu dengan kompleks imigresen Thailand.
Tempat meletakkan kenderaan terletak disebelah kiri dibelakang pejabat
imigresen tersebut. Di sini kita akan mengisi borang visa ketibaan yang boleh
diperolehi di pejabat imigresen Thailand secara percuma. Tempat mengambil
visa ketibaan yang berada didalam kawasan pagar imigresen.Kita boleh
mendapatkan borang disini secara percuma.
Pejabat Imigresen Thai untuk mendapatkan borang visa ketibaan yang berada disebelah kiri kawasan dalam pagar
Sekiranya kita
menggunakan khidmat agen yang berada dimeja berdekatan pejabat tersebut RM2
dikenakan bagi setiap pengisian borang. Sebaiknya ambillah borang sendiri
kerana jaraknya meja tersebut dengan pejabat imigresen Thailand hanyalah 5
meter sahaja.
Agen yang menunggu
diluar pagar mengenakan caj RM2 sekeping bagi setiap visa ketibaan yang diisi oleh mereka (ihsan sebuah blog kerana terlupa shot gambar tempat agen ni).
Untuk membawa masuk
kenderaan kita perlu menyelesaikan urusan mengisi visa ketibaan dan selepas itu
barulah boleh menguruskan kebenaran membawa masuk kenderaan ke Thailand. Perlu
diingatkan kita perlu membawa sesalinan fotokopi geran kenderaan dan surat kebenaran
tuan punya kenderaan sekiranya kereta tersebut bukan hak milik kita. Selepas membuat pendaftaran masuk kenderaan pastikan dokumen yang dikembalikan disimpan untuk digunakan semasa keluar dari sempadan Thailand. Pernah seorang teman didenda lebih daripada seribu ringgit ketika masuk kali kedua ke Thailand kerana terlupa untuk menyerahkan kembali borang kebenaran membawa masuk kenderaan tersebut kepada pihak kastam Thailand ketika kali pertama ke sana. Beringatlah sebelum terkena.
Selepas kita
mengecop passport kita, pihak berkuasa Thailand akan mengembalikan sekeping
borang yang bertulis “departure” ataupun berlepas pulang ke Malaysia. Borang
ini perlu disimpan untuk digunakan ketika mana untuk keluar dari Thailand
nanti. Selalunya imigresen Thailand akan meminta RM2 seorang bagi setiap
passport yang dicop sebagai tips. Sekiranya kita bijak bernegosiasi,
kadang-kadang kita tidak perlu membayar tips tersebut ataupun dikurangkan
kepada RM1 sahaja. Ianya bergantung kepada kepandaian kita berbicara dengan
pegawai imigresen Thai yang menjaga kaunter tersebut.
Membeli Sim Kad
Thailand
Bagi memudahkan
perhubungan, sebaik sahaja masuk ke pekan Danok, singgahlah di 7 eleven yang
terletak disebelah kiri jalan untuk membeli sim kad Happy Tourist yang
ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi DTAC Thailand. Yang menariknya pakej
sim kad ini adalah termasuk dengan pakej data.
Pack Sim Kad Happy
Tourist. Sim kad ini mempunyai pakej data unlimited untuk kemudahan pelancong
ke Thailand
Sekiranya kita
membeli sim kad yang berharga 290 baht (lebih kurang RM29), kita akan mendapat
kemudahan unlimited internet selama 7 hari dan terdapat didalamnya kredit
sebanyak 100 baht (lebih kurang RM10). Ataupun kita boleh membeli sim kad yang
berharga 49 baht (Lebih kurang RM4.90) dimana kemudahan unlimited internet yang
diberikan adalah selama 24 jam dan tempoh berbual sebanyak 15 baht (lebih
kurang RM1.50).
Sekiranya kita
membeli sim kad yang berharga 49 Baht ini dicadangkan supaya membeli banyak sim
kad untuk membolehkan kita melayari internet setiap hari. Pengalaman saya di
sana, saya membeli 3 simkad bagi setiap orang dimana setiap hari kami menukar
simkad bagi membolehkan kami melayari internet untuk menggunakan whats app,
face book ataupun google maps sebagai pedoman perjalanan di sana. Ini kerana 3
sim kad untuk sehari internet bersamaan dengan 150 baht berbanding harga simkad
yang mempunyai kemudahan internet selama 7 hari sebanyak 290 baht. Penjimatkan
sebanyak 140 baht.
Sekiranya kita ingin menggunakan talian kita di Malaysia dengan melakukan roaming, elakkan daripada kita melakukan roaming ke atas packet data. Biarlah roaming hanya untuk talian perbualan telefon dan sms sahaja. Ini kerana, ramai yang sudah terkena daripada ribuan ringgit sehingga ratusan ribu ringgit untuk membayar roaming packet data yang digunakan diluar negara.
Mencari Makanan
Halal
Untuk mencari
makanan halal di Thailand sebenarnya tidak susah. Tetapi perlu perlu meninjau
dengan teliti terutamanya di sepanjang perjalanan. Tetapi untuk perjalan pergi
dan balik sekiranya berkonvoi, sebaiknya sekira ada bekal ianya lebih baik
terutama yang mempunyai anak kecik. Ataupun kita mengambil sarapan pagi yang
berat di Changlun atau Danok untuk melapik perut. Elok juga sekiranya dibawa
meggi dan roti gardenia untuk kita makan sepanjang perjalanan ataupun disebelah
malam di dalam hotel.
Di sepanjang
perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, selepas melepasi pekan Danok hanya sebuah dua
sahaja kedai makan Muslim yang bertanda halal. Sekiranya terlajak, makanan
hanya akan di temui di RnR Trang, yang berada di kanan jalan menghala balik.
Kawasan RnR Trang yang berada di sebelah kanan jalan. Awas jangan terlepas!
Bangunan RnR Trang
Oleh kerana emak dan
saya tidak makan makanan Thailand kerana tidak lalu, emak dan ayah saya membawa
bekal untuk dimakan selama 3 hari. Bekal yang dibawa adalah telur rebus dan sambal
kering ikan bilis yang dipelajarinya daripada seorang teman ketika menunaikan
haji di Mekah dimana sambal bilis ini mampu bertahan selama sebulan tanpa
dipanaskan kembali. Rasanya sedap. Cara membuatnya juga mudah. Selain itu, emak
membawa telur dan nasi serta periuk elektrik untuk memasak nasi disana. Oleh
itu, tidak ada masalah untuk emak dan ayah makan.
Sambal Ikan Bilis istimewa yang mampu bertahan selama beberapa bulan
Manakala kami pada
sebelah pagi bersarapan dengan makanan yang dibawa oleh emak, manakala pada
sebelah tengah hari dan malam kami makan diluar sementara emak dan ayah makan
bekal yang dibawa.
Sebagai anak,
apabila berjalan bersama ibu bapa perkara-perkara begini seharusnya dititik
beratkan bagi mengelakkan ibu bapa kita kelaparan. Tambahan pula ibu bapa yang
berlatar belakangkan orang kampung yang jarang menikmati makanan Thai yang pedas
dan kadang-kadang dimasak oleh tukang masak yang “cemerkap” ataupun memakai
pakaian yang tidak menutup aurat. Persediaan ini dibuat selepas ada dikalangan
rakan kami yang pergi sebelum ini merungut ibu bapa mereka kelaparan kerana
tiada makanan yang sesuai untuk mereka makan kerana tidak sesuai dengan selera
mereka.
Antara restoran yang
Halal yang terdapat di Ao Nang, Krabi antaranya Hasna, Chaba dan sebuah restoran yang
berada di depan restoran Hasna. Namun begitu,
sepanjang perjalanan pulang dari Krabi melalui pekan Thung Wa, tidak banyak
kedai makan yang ditemui. Selepas terlepas kedai makan di pekan Thung Wa, kami
hanya menikmati makan tengah hari di Pekan Cha Lung berdekatan dengan Satun
kira-kiran jam 5 petang.
Bagi orang yang baru
sampai ke sana seperti kami, diakui agak susah untuk mencari kedai makan halal
ketika pergi dan pulang. Tetapi apabila berada di Krabi sudah banyak kedai
makan halal di sana. Oleh itu, untuk perjalanan akan datang persiapan boleh
dibuat untuk menyediakan bekalan makanan bagi perjalanan pergi dan pulang
terutamanya kepada anak-anak kecil atau orang tua yang sudah berumur yang tidak
tahan lapar.
Perjalanan Ke Phuket
Dari pekan Ao Nang
Beach, terdapat 2 cara untuk ke Phuket. Pertamanya melalui jalan darat sejauh
130 KM dengan anggaran perjalanan selama 2 jam 30 minit ataupun menaiki bot
yang disediakan iaitu selama 2 jam.
Sekiranya kita
menaiki kenderaan sendiri, perjalanannya agak letih. Namun begitu, sekiranya
kita menaiki bot, apabila tiba di Phuket kita terpaksa menyewa kenderaan pula
untuk bergerak.. Seeloknya sekiranya mahu ke Phuket dari Ao Nang, perlulah
bermalam disana bagi mengelakkan masa terbuang di dalam perjalanan tanpa sempat
menikmati aktiviti di sana.
Masjid dan Muassasah Nurul Islamiyyah
Kedai makan di Phuket berhadapan dengan Masjid
Di Phuket terdapat
banyak masjid dan makanan halal. Namun begitu, di sana juga terdapat pelancong
memakai pakaian yang tidak cukup. Kami hanya duduk sebentar di sana kerana
keadaan yang agak kurang selesa untuk mata memandang.
Ketam rebus yang dijual di Phuket
Penjaja wanita di Phuket
Aktiviti Membeli
Belah
Di Krabi dan Phuket,
kami langsung tidak sempat untuk membeli belah kerana banyak masa dihabiskan di
atas kenderaan. Tambahan pula berdasarkan survey yang dibuat, kebanyakkan
barang yang dijual lebih tinggi harganya berbanding di Kedah.
Misalnya kami
membeli telur ayam 10 biji disebuah kedai kampung dengan harga 450 baht jauh
lebih mahal daripada kita. Harga buah tampoi 500 baht berbanding di negara kita
RM3.
Aktiviti membeli
belah kami lakukan di nat Wang Kelian. Harganya tidak jauh beza dengan harga di
Krabi. Ada antaranya yang lebih murah dan mudah untuk tawar menawar kerana
penjualnya pandai berbahasa Melayu Pattani.
Selain itu, duit
lebihan berbelanja di Thailand juga boleh ditukarkan dengan penjual di Wang
Kelian dimana mereka menukar duit dengan kadar sama harga. Sebagai contoh biras
saya menukar 8000 baht bersamaan dengan RM800. Jauh lebih menguntungkan
berbanding sekiranya ditukar dikedai pengurup wang yang mungkin akan membeli
dengan harga yang jauh lebih rendah.
Singgah sebentar di Nat Cha Lung sebelum sampai ke Wang Kelian. Rata-rata peniaga disini mampu bertutur dalam Bahasa Melayu
Selamat Melancong
Inilah Sedikit catatan
mungkin boleh dijadikan pedoman untuk teman-teman yang ingin ke Krabi. Bolehlah kita belajar sedikit sebanyak belajar asas Bahasa Thai untuk memudahkan komunikasi di sana
seperti perkataan makan, kedai, jalan dan sebagainya yang asas dan mudah. Untuk
belajar Bahasa Thai bolehlah diprint untuk dibawa dari laman Diari Anak Timur (Klik)
Untuk tujuan aktiviti,
banyak catatan dari rakan-rakan yang lain yang pernah ke sana. Hanya dengan
menaip AKTIVITI MENARIK DI KRABI (Klik), kita akan dapat membaca pengalaman
pengunjung yang pernah ke sana dengan pelbagai aktiviti menarik. Catatan saya
ini lebih dikhususkan berkaitan persediaan teknikal untuk ke sana bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke
sana.
Selamat bermusafir.